Pantai Kemunting, Pengkalan Balak |
Pantai Pengkalan Balak merupakan kesinambungan dari Pantai
Tanjung Bidara, Melaka berhampiran pekan Pengkalan Balak, dalam daerah Alor
Gajah. Pesisir pantainya yang luas didampingi keindahan dan keunikan
kampung-kampung nelayan menjadikan suasana persekitarannya damai dan permai.
Pantai ini terletak berdekatan dengan Kem Terendak, sebuah kem tentera dan
pantai Tanjung Bidara. Pantai yang terletak 10 km dari bandar Masjid Tanah ini
merupakan pantai perkelahan yang terkenal di negeri Melaka.
Pantai yang popular dengan pelbagai bentuk chalet
persendirian ini memberikan peluang kepada pengunjung dan pelancong untuk
menginap dan menikmati suasananya yang permai pada sebelah malam. Para
pengunjung juga berpeluang menyaksikan nelayan-nelayan yang pulang membawa
hasil laut menjelang senja hari.
Penempatan ini terdiri daripada 11 buah kampung tradisional
dengan kebanyakan penduduk bekerja sebagai petani dan nelayan.
Pengunjung ke Pantai Padang Kemunting akan berpeluang
melihat penyu karah, spesies yang hampir pupus. Pusat Penetasan Penyu Jabatan
Perikanan di Padang Kemunting berperanan dalam menyelamat dan melindungi penyu
karah ini.
0 Comments